Aktiviti Remaja Pada Musim Cuti!
APA agaknya aktiviti anak remaja anda pada musim cuti sekolah ini? Rasanya belum terlewat untuk kita sama-sama beringat bagi memastikan anak-anak kita menjalani waktu cuti sekolah dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah.
Apabila menyebut perkataan remaja, ramai yang bertanggapan golongan ini bermasalah dan memberikan banyak permasalahan kepada masyarakat.
Jarang sekali kita mendengar dalam kalangan masyarakat menyebut tentang kehebatan, kelebihan dan kebaikan yang ada pada remaja.
Benarkah remaja hari ini banyak mendatangkan masalah? Seharusnya ibu bapa memanfaatkan musim cuti sekolah ini untuk memberi peluang anak-anak remaja melakukan aktiviti lasak bersama keluarga atau rakan-rakan.
Pelbagai aktiviti lasak seperti paintball, ATV, flying fox dan trek udara yang bukan sahaja baik untuk kesihatan fizikal bahkan membantu merangsang minda.
Melalui aktiviti seperti ini, remaja boleh membina keyakinan diri, kerja berpasukan dan merancang strategi.
Secara amnya, aktiviti luar ini tidaklah membosankan berbanding hanya cuti-cuti di rumah atau ke pusat peranginan tanpa aktiviti yang mencabar.